BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Januari. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri mengadakan Program Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’, hari ini.
Taklimat Kenegaraan bagi Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri tersebut dikendalikan oleh Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik bertempat di Lecture Theatre 1 sekolah berkenaan.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim dan dihadiri oleh seramai 141 penuntut Tahun 7.
Turut hadir, Pengetua Sekolah STPRI, Dayang Hajah Azizah binti Haji Abdul Rahman; Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Awang Md. Shahrani bin Haji Mataha dan para tenaga pengajar.
Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera’ serta berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi menguji dan menambah kefahaman mengenai kandungan taklimat.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah Kuiz Kenegaraan kepada para penuntut yang menyertai kuiz tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran) sekolah berkenaan.
Program Taklimat Kenegaraan ini merupakan antara usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, di samping mengukuhkan semangat patriotisme, solidariti serta kenegaraan yang tinggi dalam diri para penuntut.


Total views : 645