GADONG, Isnin, 12 Januari. – Seramai 147 orang penuntut Tahun 7 Sekolah Menengah (SM) Rimba 1 menghadiri Program Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang diadakan di dewan serbaguna sekolah berkenaan.

Taklimat anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri tersebut dikendalikan oleh Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

Turut hadir, Pengetua SM Rimba 1, Awang Muhammad Hafizuddin bin Abdullah Tong; Timbalan Pengetua (Pentadbiran) SM Rimba 1, Dayang Chua Hui Feng; serta para tenaga pengajar sekolah tersebut.

Kuiz Kenegaraan juga diadakan bagi meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap taklimat yang disampaikan, dan para pemenang kuiz menerima hadiah yang disumbangkan oleh Jabatan Penerangan.

Program Taklimat Penerangan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.

Ia juga dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.