BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Januari. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan mengendalikan Program Taklimat Kenegaraan di Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah (STAHB), pagi tadi.
Taklimat yang diadakan di Qa’ah Al-Azkiyaa sekolah berkenaan dihadiri oleh seramai 376 orang penuntut Pra U1.
Turut hadir ialah Pengetua Sekolah berkenaan, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohammad serta para tenaga pengajar.
Program tersebut antara lain bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara, di samping menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan para penuntut melalui penyampaian taklimat berkenaan.
Selain itu, program berkenaan juga dihasratkan untuk mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 serta inisiatif di bawah Dasar Belia Negara dan Strategi Belia 2020–2035.
Taklimat bertajuk ‘Peranan dan Tanggungjawab Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam’ disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.
Kandungan taklimat antara lain menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab rakyat terhadap negara dan pemerintah, masyarakat serta keluarga dalam sama-sama menyumbang ke arah kesejahteraan negara.


Total views : 597