Siaran Akhbar: Jabatan Penerangan
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Februari. – Dalam usaha berterusan untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN baru-baru ini.
Jerayawara Kenali ASEAN tersebut yang diadakan di Qa’ah A’mah Dewan Serbaguna, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu, turut dihadiri oleh Pengetua, Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd. Noor dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail, kepada 138 pelajar Tahun 7 yang mana taklimat antara lain untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Para pelajar juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Guru Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan, Awang Haji Zaidi bin Mohidin.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.


Total views : 597