Oleh : Aimi San
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
MENTIRI, Selasa, 7 April. – Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik, hari ini mengadakan Program Sua Muka bersama Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mentiri bertempat di kediaman Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Mentiri.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.
Manakala bagi pihak Kampung Kawasan 2 RPN Mentiri diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Mentiri, Haji Mohammad Nizam bin Haji Julaihi.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program juga diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung daripada Jabatan Tenaga mengenai ‘Usaha Kerajaan dalam Memperkenalkan Renewable Energy / Tenaga Baharu (Solar System)’ dan daripada Pusat Kebangsaan E-Kerajaan mengenai ‘BruneiID’.
Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam.


Total views : 443