Galeri Lentera Makmur
Bahan-Bahan Terbitan
Satu lagi medium komunikasi Jabatan Penerangan dalam usahanya untuk menyampaikan
maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat ialah melalui bahan-bahan terbitan. Pelbagai jenis
buku, risalah, termasuk poster diterbitkan dan yang terkini ialah infografik untuk digunakan bukan
sahaja melalui media cetak malahan juga secara dalam talian.
Sehingga ke hari ini, Jabatan Penerangan terus menerbitkan buku-buku, risalah dan lain-lain
mengikut kesesuaian dan trend terkini.
Jika pada dahulu buku-buku hanya disediakan dalam versi cetak, pada hari ini bahan-bahan
terbitan sudah boleh dimuat turun dan orang ramai boleh mendapatkan salinan liut terbitan
terbitan tersebut melalui pautan seperti berikut:
Pelita Brunei
Tanggal 15 Februari 1956, edisi pertama akhbar rasmi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pelita Brunei
diterbitkan.
Bermula dengan mencetak menggunakan kaedah siklostil atau stensil, akhbar Pelita Brunei terus
bergerak maju di mana edisi Pelita Brunei pada hari ini dicetak menggunakan mesin yang lebih
moden dan bukan sahaja boleh diperoleh melalui edisi cetak, malahan juga secara dalam talian.
Sesuai dengan perkembangan teknologi semasa, berita-berita dan ruang-ruang di akhbar Pelita
Brunei sekarang sudah boleh dibaca setiap hari melalui laman sesawang Pelita Online melalui
www.pelitabrunei.gov.bn dan media sosial akhbar Pelita Brunei melalui Facebook, Twitter dan
Instagram.
Pada hari ini, akhbar Pelita Brunei dicetak tiga sekali seminggu iaitu edisi Isnin, Rabu dan Sabtu,
sebanyak 32 muka surat setiap edisi, dan dicetak sebanyak 8,000 naskhah.
Edisi cetak akhbar Pelita Brunei juga boleh diperoleh dalam versi e-paper iaitu dengan melayari
www.epaper.pelitabrunei.gov.bn
Pelita Brunei juga menerima baik dan menggalakkan perkembangan penulisan kreatif. Ke arah
ini, akhbar Pelita Brunei sentiasa membuka pintunya kepada sumbangan penulisan daripada
orang ramai seperti penulisan berita, cerpen, puisi, sajak, dan lain-lain. Akhbar Pelita Brunei juga
menyediakan beberapa ruang yang memberikan sagu hati kepada para penulis yang berbakat.
Tahun 2021 juga merupakan tahun yang signifikan dalam perjalanannya sebagai akhbar rasmi
kerajaan di mana akhbar Pelita Brunei menyambut Jubli Nilam iaitu 65 tahun penubuhannya. Ia
merupakan satu pencapaian yang sangat dibanggakan dan melambangkan statusnya sebagai
satu-satunya akhbar rasmi kerajaan di negara ini.
Potret Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien
Terkenal sebagai Arkitek Brunei Moden, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi
Waddien berkenan bertitah sempena keluaran pertama akhbar Pelita Brunei di mana baginda
menyatakan bahawa penerbitan akhbar Pelita Brunei merupakan salah satu usaha kerajaan dalam
memberikan penerangan kepada orang ramai.
Potret ini sebagai lambang bahawa akhbar Pelita Brunei mula diterbitkan semasa zaman
pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.


Total views : 443