Berita dan Foto: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Ogos – Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kini telah berusia lebih separuh abad sejak penubuhannya pada 8 Ogos 1967 dan kini dianggotai oleh 10 buah negara, iaitu Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Viet Nam, Laos, Myanmar dan Kemboja.
Di samping moto ASEAN, ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’, prinsip-prinsip utamanya termasuk menghormati kemerdekaan, kesamarataan, keutuhan wilayah dan identiti nasional semua negara.
Selain itu, hak bagi setiap negara untuk memimpin diri, bebas daripada campur tangan dan paksaan luar, menyelesaikan perbezaan atau pertikaian secara aman, menolak penggunaan kekuatan ketenteraan serta kerjasama yang berkesan antara negara anggota.
Perkara tersebut adalah antara taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa di Jabatan Penerangan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin, pada Jerayawara ‘Kenali ASEAN’ bagi 199 pelajar Tahun 9 Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang diadakan di auditorium sekolah berkenaan.
Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar turut menjelaskan mengenai bendera dan logo ASEAN serta maklumat ringkas mengenai negara-negara anggota, termasuk tradisi makanan dan tempat-tempat menarik bagi setiap negara tersebut.
Jerayawara ini diharapkan dapat menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar sebagai sebahagian daripada komuniti ASEAN. Kuiz ASEAN juga telah diadakan bagi menilai pengetahuan pelajar mengenai ASEAN dan peranan organisasi tersebut dalam membangunkan negara-negara anggotanya.
Program berkenaan turut mempromosikan aplikasi mudah alih ‘We ASEAN’, yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan Negara Anggota ASEAN, Kalendar ASEAN, kuiz, serta galeri gambar dan video.
Aplikasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play untuk pengguna Android serta App Store untuk pengguna iOS.
Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme dan perpaduan (ke-ASEAN-an) dalam kalangan pelajar, bagi menghargai fungsi dan tujuan ASEAN.
Pada masa yang sama, ia juga dapat memperkukuh hubungan antara Jabatan Penerangan dan masyarakat, khususnya para pelajar bagi memastikan kelestarian negara serta terus memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat negara pada masa hadapan.


Total views : 523