JPAKK, JKK - SESI PERKONGSIAN MAKLUMAT BERSAMA BIBD
Berita : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
Sesi Perkongsian Maklumat, Pengalaman JPAKK, JJK – BIBD
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 17 Ogos – Dalam memperkukuh hubungan dua hala antara agensi kerajaan dan sektor swasta bagi sama-sama menyokong serta mengekalkan imej kerajaan, Jawatankuasa Pegawai Perhubungan Awam Kementerian-Kementerian dan Agensi-Agensi Bersamanya (JPAKK dan JJK) telah mengadakan Sesi Perkongsian Maklumat bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), yang berlangsung di Tingkat 2, Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Brunei, hari ini.
Seramai 35 orang Pegawai Perhubungan Awam dan Pengamal Perhubungan Awam yang mewakili 12 kementerian telah menyertai program tersebut.
Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi JPAKK dan JJK dalam ucapannya mengongsikan bahawa antara objektif program ini adalah sebagai platform bagi agensi kerajaan dan swasta selaku rakan strategik untuk berinteraksi, berkongsi maklumat dan pengalaman dalam mengangkat imej kerajaan serta membantu dalam pembangunan negara dan rakyatnya melalui projek-projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BIBD.
Para peserta telah diberikan taklimat mengenai peranan BIBD sebagai Rakan Kongsi Kemajuan oleh Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Dayang Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd. Jaafar, yang antara lain menyentuh mengenai komitmen BIBD untuk menyokong kerajaan dalam mencapai matlamat dan visi Wawasan Brunei 2035 melalui Program-Program CSR mereka, seperti BIBD ALAF, BIBD SEED, dan Community for Brunei.
Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Hubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Dayangku Rodzi binti Pengiran Haji Abd. Rahman dalam taklimatnya turut menjelaskan mengenai program-program kerjasama antara BIBD dan Kerajaan Brunei.
Beliau menambah bahawa Projek Tunas merupakan sebuah program keusahawanan melalui penyediaan ruang komersial, bagi membolehkan para usahawan mempraktikkan sejauh mana latihan yang diberikan oleh BIBD dapat dimanfaatkan dalam operasi perniagaan sebenar mereka demi mencapai kejayaan.
Beliau mengongsikan bahawa projek yang melibatkan penyertaan empat vendor di bawah Program Pemerkasaan Keusahawanan di bawah BIBD dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu merupakan peserta-peserta terpilih daripada Skim Pemerkasaan dan Pembangunan Keusahawanan Khas BIBD SEED, Gabungan Usahawan Transformasi 1K1P, Konsortium Mualafpreneurs, dan Usahawan Bakarih Yayasan.
Para Pegawai Perhubungan Awam dan Pengamal Perhubungan Awam juga berpeluang melawat Pusat Kecemerlangan dan Pemerkasaan (Centre of Excellence and Empowerment) yang berfungsi sebagai hab aktiviti pelajar BIBD ALAF. Pusat ini dilengkapi dengan bilik membaca, makmal komputer, bilik kolaborasi, bilik tuisyen dan kaunseling, inkubator teknologi maklumat (IT), serta pelbagai kemudahan lain yang bertujuan untuk memacu peningkatan kualiti pembelajaran pelajar-pelajar BIBD ALAF.
Turut hadir semasa program tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini; Ketua Bahagian Hubungan Kerajaan dan Projek Khas, Awang Haji Yusri bin Haji Wahsalfelah; Pegawai-Pegawai Urus Setia JPAKK dan JJK, serta pegawai dan kakitangan BIBD.
Nota Sejarah JPAKK & JJK:
JPAKK dan JJK ditubuhkan pada 8 Mac 1997, di mana Jabatan Penerangan telah dilantik sebagai Urus Setia, antara lain bagi memastikan matlamat utama penubuhannya dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.
Ia adalah selaras dengan matlamat dan fungsi jawatankuasa ini untuk meningkatkan, memenuhi, dan mengekalkan sifat tanggungjawab Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan perkhidmatan dan maklum balas kementerian serta jabatan kepada orang ramai secara proaktif dan telus, dari segi dasar, matlamat, fungsi serta tanggungjawab, di samping peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan ke atas kementerian dan jabatan berkenaan yang diketahui oleh orang ramai.


Total views : 579