Semai Semangat Patriotisme Dalam Kalangan Pelajar
Berita dan Foto: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Semai Semangat Patriotisme Dalam Kalangan Pelajar
Berita dan Foto: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Januari – Kita perlu mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan serta bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran, seperti Perkahwinan Diraja dan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, ia merupakan tanda bagi sambutan hari-hari besar negara, serta untuk menzahirkan dan menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.
Ini merupakan antara intipati Taklimat Kenegaraan ‘Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Penerangan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa di Perpustakaan Sekolah Menengah Awang Semaun (SMAS).
Dayang Zurairah turut mengongsikan garis panduan penggunaan Bendera Negara, antaranya tiang bendera yang digunakan di hadapan bangunan dan rumah kediaman hendaklah tidak melebihi 20 kaki atau 6.09 meter tinggi.
Bagi rumah kediaman jenis pangsapuri atau flat yang tidak mempunyai kawasan untuk mendirikan tiang bendera, ia boleh dipasang pada sebatang tiang di beranda atau dinding dengan kecondongan 30 darjah.
Sementara bagi hotel dan bangunan seumpamanya pula, bendera hendaklah dikibarkan di atas bangunan atau di hadapan bangunan dengan syarat tiang bendera tersebut tidak mencecah tanah.
Jika hotel berkenaan mempunyai bendera sendiri, maka tiang bendera tersebut hendaklah diletakkan di sebelah kiri Tiang Bendera NBD. Manakala ukuran tiang bendera pula hendaklah tidak kurang dari 10 kaki jika berada di atas bangunan, dan tidak kurang daripada 20 kaki tinggi jika berada di hadapan bangunan.
Seramai 97 orang pelajar Tahun 7 SMAS berpeluang mendengarkan taklimat tersebut dan seterusnya menyaksikan klip video ‘Semarak Pengibaran Bendera Negara’ serta video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.
Taklimat diakhiri dengan acara kuiz berdasarkan maklumat yang telah disampaikan dengan hasrat untuk terus memperkukuh lagi semangat perpaduan, patriotisme, dan kenegaraan yang tinggi dalam diri masing-masing.


Total views : 579