BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Januari. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI telah menganjurkan Jerayawara Kenali ASEAN untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.

Sehubungan itu, seramai 171 penuntut Sanah 8 Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah menghadiri taklimat tersebut bertempat di Auditorium 1, sekolah berkenaan.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.

Turut hadir, Timbalan Pengetua (Akademik) Sekolah, Pengiran Asmady bin Pengiran Haji Aliudin berserta tenaga pengajar. Para penuntut juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua (Akademik).

Penganjuran Jerayawara Kenali ASEAN ini bertujuan untuk membarigakan mengenai ASEAN selain sebagai usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti