BERAKAS, Isnin, 12 Januari. – Ke arah memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, Jabatan Penerangan menerusi Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Komunikasi Strategik mengadakan Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE), Daerah Tutong yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Program yang disertai oleh seramai 49 orang peserta, yang terdiri daripada Ahli-ahli PKWE, Daerah Tutong berkenaan diadakan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Mashod dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Mohd. Nurakram bin Noraini @ Bahrin.

Dalam ucapannya, Awang Mohd. Nurakram antara lain menyentuh bahawa PMB merupakan inisiatif jabatan dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut mengenai usaha-usaha pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan dalam sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam.

Program ini juga, jelasnya, memberi manfaat kepada para peserta sekali gus dapat diaplikasikan kepada kehidupan sehari-hari, seperti dalam menghadapi jenayah siber yang sedang berleluasa pada masa ini.

Di samping itu, program ini memberikan inspirasi mahupun idea-idea melalui lawatan sambil belajar ke perusahaan-perusahaan tempatan, tambahnya.

Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan, program ini telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih.

Juga hadir, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.