BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Januari. – Seramai 544 orang penuntut Tahun 7, 8 dan 9 Sekolah Menengah Berakas menghadiri Taklimat Jerayawara Kenali ASEAN, bertempat di Dewan Anggerek sekolah berkenaan.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah pengetua sekolah berkenaan, Pengiran Hajah Norhashimah binti Haji Burut beserta tenaga pengajar.

Pada jerayawara itu, para penuntut juga berkesempatan untuk mengikuti sesi Kuiz Kenali ASEAN dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh pengetua sekolah.

Jabatan Penerangan melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI ini mengadakan jerayawara ini bertujuan untuk membarigakan mengenai ASEAN, di samping juga sebagai usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan para pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Pada masa yang sama juga untuk mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.