Oleh : Khartini Hamir
Foto : Azmah Haji Ahad, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 April. – Ke arah memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035, Jabatan Penerangan menerusi Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut I, Mukim Liang, Daerah Belait.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, mengambil tempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan.
Program disertai oleh seramai 19 orang peserta, yang terdiri daripada Pemangku Ketua Kampung dan penduduk Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut I, Mukim Liang, Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman, dan juga hadir sama pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Penolong Pegawai Penerangan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin, kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail.
Dalam ucapannya, Awang Eddy Iswandy antara lain mengetengahkan tentang PMB yang merupakan inisiatif jabatan dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu pengetahuan dengan lebih lanjut mengenai usaha-usaha pihak kerajaan dan agensi-agensi berkenaan dalam sama-sama membangun Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, program berkenaan juga dapat memberi manfaat kepada para peserta sekali gus dapat diaplikasikan kepada kehidupan sehari-hari, serta memberikan inspirasi mahupun idea-idea melalui lawatan sambil belajar ke perusahaan-perusahaan tempatan.
Program disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih, selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasikan anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan.


Total views : 588